VIDEO & REPORTASE: Tour Mavis Dirty Project, Destruction Zero & Shock&Awe! Media ke Pontianak

VIDEO | Special Feature Pontianak

Shock&Awe! Media

Shock & Awe! Special Feature | PONTIANAK

*******

REPORTASE | TOUR & GIG TINY BORNEO DAY OUT #1

Marvin Gayle, editor zine Punkcaroba

Pontianak, Kalimantan Barat,Indonesia | Tanggal 6-8 April 2012.

Hari #1: Jumaat 6 April 2012

Perjalanan selama lapan jam dari Kuching ke Pontianak ,Indonesia pada 6 April 2012 benar–benar membawa kami ke satu destinasi baru yang memberi pengalaman manis dalam bertemu dengan rakan-rakan baru di sana.

Seawal jam lapan pagi lagi kami berangkat dari Kuching dengan menaiki bas ekspres, dalam perjalanan memang bermacam-macam yang bermain di fikiran. Berfikir bagaimana keadaan bila sudah tiba di sana dan sebagainya.

Jam sepuluh pagi kami tiba di sempadan antara Malaysia dan Indonesia, sempadan yang dinamakan Tebedu-Entikong di situlah kami berhenti untuk membuat pemeriksaan pasport. Setelah selesai menjalani pemeriksaan pasport Imigresen Malaysia dan juga Imigresen Indonesia, kami terus menaiki bas dan meneruskan perjalanan kami dan pasar Entikong adalah yang pertama kami lalui. Jalanraya dua hala yang agak sempit untuk laluan kenderaan seperti bas dan juga struktur jalan yang rosak sedikit memperlahankan perjalanan kami pada waktu itu. Sambil melihat perkampungan di sepanjang  perjalanan kami, jelas menunjukkan perbezaan antara dua negara. Dari segi penempatan, kenderaan, kedai, warung dan sebagainya. Perjalanan kami diteruskan dengan melayan tidur di dalam bas.

Jam 11 tengahari waktu Indonesia, kami tiba di satu persinggahan di satu daerah yang dinamakan Sosok, kami berhenti untuk makan tengahari di situ, kali pertama merasai makanan di Indonesia, masakan Minang, sedap juga tetapi apa yang mengejutkan kami harga makanannya lebih mahal berbanding di Malaysia. Di Sosok, mereka kata ,di situ memang mahal harga makanannya di sebabkan daerah tersebut terletak jauh dari kota dan memang jauh  untuk mendapat bekalan barang-barang.

Setelah makan tengahari, kira-kira dalam 20 minit, perjalanan kami diteruskan. Kami melewati beberapa pekan di sepanjang jalan hendak menuju ke bandar Pontianak. Kira-kira jam tiga petang waktu Indonesia ,kami sudah hampir tiba di bandar Pontianak. Semasa di dalam bas lagi kami melihat keadaan di bandar itu, sesak dan ramai orang, ramai yang berjaja di tepi jalan dan kebanyakannya menggunakan motosikal sebagai pengangkutan utama mereka. Setelah melimpasi jambatan Sungai Kapuas, barulah benar-benar tibanya di Bandar Pontianak.

Setibanya di terminal bas di Pontianak, kami didekati oleh para ‘prima’ atau penambang van yang sedikit mendesak kami untuk menaiki kenderaan mereka, tetapi kami memberi jawapan ‘tidak’ dan memberitahu bahawa ada teman yang datang menjemput kami. Lebih kurang dalam 15 hingga 20 minit, rakan-rakan di Pontianak telah pun tiba di terminal tempat kami menunggu dan kebanyakannya mereka bermotosikal dan hanya sebuah sahaja kereta yang dipandu oleh Riska Pretty Riot yang menjadi tempat kami untuk meletakkan barang-barang kami. Dan untuk ke destinasi, kami ada yang membonceng motosikal tanpa memakai topi  keledar.

Kami dipecahkan kepada dua kumpulan, band Destruction Zero menginap di rumah salah seorang rakan baru kami, Dongok, manakala band Mavis Dirty Project menginap di rumah rakan baru yang bernama Fitro (Fitro merupakan drummer kepada band SUKARAME). Setibanya kami di rumah Fitro ,kami duduk berehat sambil berbual sesi suai kenal dengan Aldiman, Fitro, Reri dan Riska.

Jam lapan malam waktu Indonesia ,kami menumpang kereta Riska dan ditemani oleh rakan-rakan yang lain ke penginapan Destruction Zero, kami bertemu di sana sebelum di bawa berjalan-jalan di sekitar bandar Pontianak. Kami sempat singgah untuk membeli buah tangan di deretan kedai kraftangan di situ, selepas itu berjalan menuju ke waterfront yang terletak di tepi sungai Kapuas. Dalam perjalanan menuju ke waterfront,kami ditawarkan oleh beberapa warung kopi yang terletak di situ, tetapi kami tidak mengendahkannya, kami diberitahu bahawa yang menariknya tentang warung kopi tersebut ialah, ada pelayan yang akan melayan atau duduk di sebelah kita bila kita minum kopi di warung mereka (seperti G.R.O) “kopi pangku” adalah gelaran bagi warung-warung tersebut. Setibanya kami di waterfront, kami bertemu dengan beberapa lagi rakan-rakan scene. Asep (Jerones343) dan rakan-rakanya juga sedang melepak di waterfront, ramai juga para pengunjung di situ pada waktu malam. Sesi suai kenal, bergambar dan beralkohol diadakan di situ sambil menikmati pemandangan di tebing sungai Kapuas di waktu malam. Setelah asyik melepak dan sedar tak sedar, jam telah menunjukkan pukul 2.30 pagi, kami semua bersurai dan masing-masing balik ke penginapan masing-masing untuk berehat dan menunggu kesokkan harinya.

Hari #2: Sabtu 7 April

Bangun pada jam 8 pagi untuk bersarapan di sebuah warung berdepan rumah si Fitro ditemani oleh Bayu. Nasi kuning merupakan menu yang menjadi sarapan kami pada pagi itu, ada juga yang menikmati bubur dan kopi panas yang sungguh ‘kaw’ dan enak sehinggakan ada yang  memesannya sampai dua kali. Harga nasi kuning dalam Rp5000.(RM1.50). Pendek kata,sarapan pagi yang sungguh enak. Selepas bersarapan,kami kembali ke rumah Fitro mengadakan sesi lepak di depan halaman rumahnya, kami berbual mengenai muzik, isu-isu politik tempatan sambil membelek-belek zine dan menjamu kuih yang dihidangkan oleh ibu Fitro sementara menanti Riska yang akan datang menjemput kami pada jam dua petang untuk pergi berjalan-jalan sebelum ke gig.

Tepat jam dua petang, Riska datang menjemput kami untuk pergi berjalan-jalan, kami sempat singgah sebentar di NUMSKULL DISTRO milik Ucok Secret Weapon, makan tengahari di sebuah warung ayam bakar, pergi membeli beer untuk dibawa ke tempat gig.

Jam empat petang, kami sudah tiba di tempat gig yang terletak di sebuah taman dan ada sebuah bangunan seperti dewan serbaguna yang dinamakan Rumah Mimpi. Tibanya kami di situ, masih belum ramai lagi crowd mahupun band yang datang, Aldiman dan juga beberapa orang rakan lain sahaja yang berada di tempat tersebut. Banyak juga merchandise di distrokan di situ dan kami turut mendistrokan barang-barang kami seperti CD, zine dan juga t-shirt. Gig bermula kira-kira jam enam petang dengan band pertama iaitu band MONTERADO yang  bergenre trash core dianggotai oleh Aldiman dan seorang lagi rakannya Gogon (2 pieces band). Selesai sahaja band MONTERADO, giliran seterusnya ialah band SUKARAME yang bergenre post punk. Kerancakan band SUKARAME menghangatkan suasana gig dengan lagu mereka yang berjudul ‘Drunken Master’. Gig diteruskan dengan giliran band crust punk KORRUPT.

Crowd semakin memenuhi kawasan gig dan kerancakan diteruskan dengan band SEIZE, FAST FOOD, DEAR SARAH, MAVIS DIRTY PROJECT, DESTRUCTION ZERO dan band terakhir pada hari itu ialah MORNING MIST. Gig berakhir sekitar jam 11.00 malam waktu Indonesia.

Selepas gig ,kami pergi ke warung kopi atau ‘warkop’(singkatan) untuk mengisi perut yang lapar setelah penat ber’gig’. Jam dua pagi, kami sudah berada di rumah Fitro untuk beristirehat sebentar sementara menunggu jam lima pagi sambil ditemani oleh Aldiman, Bayu, Gilang dan beberapa orang  lagi rakan dan menunggu masa sambil berbual-bual. Jam lima pagi,Riska datang menjemput kami untuk ke terminal bas. Bas kami akan berangkat dari Pontianak pada jam 6.30 pagi waktu Indonesia. Ramai juga rakan-rakan dari Pontianak yang sudi menemani kami ketika di terminal bas, memang best mereka ni. Sempat juga bergambar bersama sebelum berangkat balik ke Kuching. Jam 6.40 pagi, bas kami  mulai bertolak  meninggalkan bandar Pontianak dan sepanjang perjalanan sememangnya ada rasa rindu dengan pengalaman dan juga rakan-rakan ketika berada di sana. Layanan yang baik, mesra, makanan yang enak. Solidariti yang tak akan mudah dilupakan oleh kami.Dijangkakan kami akan kembali lagi ke Pontianak untuk gig sambil melawat rakan-rakan di sana.

*******

Reportase ini juga akan dimuatkan dalam Punkcaroba Zine Isu #6- beserta gambar-gambar dari tour tersebut- akan bakal terbit tidak lama lagi. Penulis boleh dihubungi di page Punkcaroba Fanzine di SINI.