Mainstream, Underground dan Independent

Artikel ini adalah reaksi serta perbincangan lanjut tiga istilah yang dinyatakan dalam satu artikel yang bertajuk sama dengan yang ini. Artikel asal boleh di baca di laman-

Kuching Indie Rebel

Blog penulis yang menyumbang artikel tersebut- Roskalas

Sedikit pendahuluan: Kebanyakan hujah yang diutarakan oleh penulis tersebut dipersetujui oleh saya dan ini boleh dilihat dalam penulisan saya seterusnya. Ada hujahnya yang saya berpendapat kurang tepat dan untuk manfaat semua saya ingin panjangkan lagi perbincangan ketiga-tiga istilah tersebut. Usaha oleh penulis tersebut adalah usaha yang baik dalam penentuan halatuju dan sebagai penunjuk orientasi sesebuah band, sebagai kaedah penilaian kendiri daripada segi politikal (politikal yang bermaksud tatacara band tersebut dalam pengendalian mereka). Sudah tentunya penulisan ini bukanlah serangan personal terhadap penulis, cuma komen seorang pemerhati jalanan. Komen anda amat dialu-alukan.

****

Pertama sekali pengguna istilah poseur ataupun groupie mempunyai konotasi yang tidak adil terhadap peminat muzik. Peminat adalah peminat dan saya percaya semua orang adalah poseur sewaktu awal penglibatan mereka dalam scene muzik. Penggunaan istilah poseur oleh individu hanya akan memencilkan golongan muda yang berminat dan tidak ada faedah dalam sendirinya, melainkan untuk menampakkan bahawa seseorang itu ‘otai’ ataupun ‘oldtimer‘ dalam sesebuah scene. Ego booster, bak kata orang putih. Groupie pula adalah satu konotasi yang berunsur seksis dan condescending, penggunaannya adalah biadap (deragatory) dan sekali lagi tidak sesuai jika seseorang benar-benar mahu menaikkan scene muzik tempatan. Penggunaan dua istilah tersebut bersifat elitist yang melihatkan dirinya lebih bagus dari orang lain.

Berikut adalah pemerhatian serta pemahaman saya terhadap tiga istilah tersebut, sebagai seorang peminat muzik yang memerhati serta menyoal maksud ketiga istilah tersebut yang sebenarnya sarat dengan pengertian yang mendalam, dan bukan hanya berfungsi sebagai label semata-mata.

Aliran mainstream, ataupun dalam terjemahan mudahnya, arus perdana, merujuk kepada band/singer songwriter yang mempunyai record label. Ia selalunya didengar di mana-mana, radio friendly, MTV-friendly, muncul di media massa- akhbar dan lain-lain- seperti namanya arus perdana itu, maka capaian untuk muzik sebegini sudah tentunya meluas- cakera padat serta kaset boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai di pasaraya. Demikian juga disebabkan sifatnya yang seringkali muncul, banyak perkara seperti kesesuaian muzik untuk umum, pakaian serta tingkah laku itu adalah terkawal (compare with Independent). Sebagai artis yang mempunyai kontrak dengan record label, ada banyak ketetapan serta syarat yang dikenakan oleh syarikat tersebut terhadap artis dibawah labelnya dan ini termasuklah perkara berkait dengan karya kreatif band tersebut. Tidak salah jika kita katakan band tersebut adalah pekerja syarikat rakaman.

Istilah underground pula, dalam terjemahan mudahnya: ‘bawah tanah’ bermaksud band/scene muzik yang, sama ada secara pilihan mahupun disebabkan keadaan yang terdesak, berada di ‘bawah tanah’- yakni tidak mudah dicapai oleh golongan massa tanpa usaha pencarian ataupun tanpa kenalan daripada orang-orang yang terlibat dalam scene tersebut. Underground tidaklah hanya terbatas kepada skinhead, punk, hardcore dan yang sewaktu dengannya sahaja, tetapi juga termasuk scene techno, awalan scene jazz dan lain-lain- Sebagai contoh scene yang dipelopori sewaktu awal kewujudan band electronica Prodigy yang mengadakan banyak acara mereka di gudang (warehouse party). Itu mungkin disebabkan oleh pilihan- disebabkan penggunaan dadah ecstasy yang amat ketara pada era tersebut. Ada juga scene underground yang muncul akibat larangan terhadap jenis muzik, yang kebanyakannya dikenakan oleh pihak berkuasa atas ketakutan pengaruh muzik terhadap perjuangan akar umbi. Scene Antifa di Russia pula terpaksa berada ‘underground’ akibat daripada serangan fasis-fasis di Russia, yang kebiasaannya berakhir dengan pembunuhan*.

Maka istilah Underground adalah lawan kepada istilah Mainstream. Di mana satu adalah amat mudah untuk dicapai, manakala satu adalah sukar. Satu dibatasi oleh kontrak yang ditandatangani dengan record label, tetapi yang tidak berkontrak itu adalah bebas untuk menghasilkan karya kreatif mereka. Tetapi kedua-dua fenomena ini tidaklah muncul dalam vakum. Mainstream muncul apabila muzik, yang seharusnya boleh dinikmati secara percuma, dari kawan untuk kawan, dari pemuzik kepada peminat, dijadikan komoditi yang boleh dijual beli dalam pasaran dengan pengenalan konsep hakcipta. Sama ada secara pilihan ataupun atas desakan sekeliling, scene underground pula eksis di bawah kesedaran orang kebanyakan, dengan perlakuan yang (diharapkan) berbeza dengan pengoperasian mainstream. Di sebabkan itu, wujudnya satu ironi apabila band-band dalam scene underground mahu mempopularkan diri mereka dan berperilaku rockstar yang sudah tentunya salah tempatnya. Tempat anda di Melodi dan majalah Mangga. Zass!

Saya berpendapat bahawa ini semua adalah satu kesedaran penting yang perlu wujud dalam mana-mana scene underground, sama ada punk, hardcore, thrash, hip hop mahupun electronica. Terutamanya apabila muzik yang anda mainkan tidak begitu mudah untuk diterima umum (Baca: Black Metal! Punk! Seks Bebas! Pemujaan Syaitan! Penyembelihan Kambing Hitam!). Apabila mainstream mahu bekerjasama dengan kita, haruslah kita sedar itu adalah untuk kepentingannya sendiri, bukan kepentingan kita. Eksploitasi dari syarikat korporat yang mahu dilihat sebagai ‘urban’ ataupun kontemporari dengan golongan muda masa kini. Parti politik yang mahu dilihat sebagai ‘liberal’ dan pragmatik **. Taik lembu.

Istilah independent pula, berkait rapat dengan dua istilah yang telah dibincangkan dan seperti yang ditakrifkan ‘berdiri atas kaki sendiri’ itu tidaklah jauh dari maksud istilah tersebut. Tidak juga jauh beza maksudnya dengan isitlah DIY- Do It Yourself (yang blog ni suka sangat pakai). Benar, istilah independent juga digunakan sebagai satu istilah genre muzik, akibat dari penggunaan ‘indie rock’. Walau apapun penggunaannya, kedua-duanya adalah betul tetapi penggunaan sebagai kategori muzik itu semakin berleluasa daripada sebagai pilihan politikal sesebuah band. Bahasa serta istilah adalah sesuatu yang berubah menyusuri peredaran masa seperti yang kita boleh lihat dari penggunaan istilah gay atau istilah khalwat dari konteksnya pada masa dahulu berbanding dengan sekarang.

Ketiga-tiga istilah tersebut bukanlah saling eksklusif (mutually exclusive). Sebagai contoh, banyak band Underground yang Independent dalam pengeluaran hasil karya mereka dan dari sini dua istilah itu adalah berkait rapat. Band Mainstream adalah sudah tentunya Bukan Underground dan Bukan Independent. Kegunaan ketiga-tiga istilah itu juga tidak tertakluk kepada genre muzik. Pop Balada dan Dangdut juga boleh menjadi underground jika diusahakan oleh akar umbi di komuniti tempatan. Banyak juga band Punk yang dikategorikan sebagai ‘Underground” yang sellout kepada Mainstream seperti Greenday- dan sebagai hasilnya anda mampu undi lagu tersebut di Hitz.fm (Zass!). Malah banyak label independent juga yang menjualkan diri mereka sebagai satu cabang record label yang besar (EMI, Sony, BMG dan sebagainya). Maka tidak hairanlah kadangkala kita melihat band yang menggunakan scene Underground sebagai batu loncatan untuk mendapatkan penawaran kontrak record labels atas alasan mahu ‘cari makan’. Ian Mackaye, disebabkannya vegetarian, tidak menggunakan alasan cari makan, maka terus menerus DIY kerana makanan vegan tidak mahal. Jadi, carilah makan sebaiknya.

400px-mackaye

Pakcik Mackaye– Lagenda Hidup

Dah penat menulis.

Bla bla bla~

Lain kali sambung lagi ya. Akhir kata, saya bukanlah mahu menulis ‘peraturan’ ataupun menjadi polis moral, tetapi sekadar perbincangan untuk direnung-renungkan bersama, sebagai muhasabah diri. Tiada apa yang lebih bahaya daripada membiarkan diri kita dikawal oleh dogma– semua situasi yang dihadapi adalah subjektif dan berbeza-beza terpulanglah kepada diri untuk memilih. Inikan dunia yang bebas?

Saya juga suka untuk memetik kata-kata penulis artikel yang tajuknya saya plagiat di sini, akhirannya yang berbunyi:

Jadi kepada anda, individu yang tidak mengerti apa-apa mengenai ini, yang sering meludah keluar perkataan ini sebagai trademark individual, bangkit dan belajarlah membaca, buatlah kajian, internet dah ada, kalau ke perpustakaan pun dah malas nak pegi.

Jangan meludah merata-rata.

Zass!

Nota kaki:

* Informasi yang saya dapati dari seorang rakan anarkis yang berkunjung. Katanya, gig Antifa (anti-fasis yang menentang pergerakan Fasis) di Russia tidak akan ada flyer atau disebarkan kepada umum seperti di sini. Ini adalah untuk melindungi mereka dari serangan fasis-fasis di Rusia, yang jumlahnya lebih ramai dari golongan Antifa. Kebiasaanya hanya tarikh gig diketahui kemudian yang ingin pergi akan dibawa oleh kenalan melalui jalan-jalan yang bersimpang siur untuk mengelirukan pihak lawan. Berbekalkan mace spray, pisau dan brass knuckles. (Apalah sangat naik van pergi pasar nangga gig?)

** Rujuk kes Carburetor Dung di serang penyokong parti politik ‘liberal’ di perhimpunan PROTES.

If music is not political, it is not worth playing“- Anonymous